Labels

About

Introduction

Saturday, 4 March 2017

BULETIN 2.0 SESI 2016/2017



FAMILY DAY NAHDAH


Tahun ini buat julung kalinya penyertaan amatlah memberangsangkan. Program penghayatan ilmu dan alam atau dengan kata lainnya Family Day, merupakan acara tahunan Kelab NAHDAH di bawah anjuran Exco Sukan dan Kebudayaan dengan kerjasama barisan pimpinan NAHDAH yang lain. Lokasi yang menjadi pilihan adalah Pantai Bagan Lalang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya iaitu aktiviti dijalankan hanya di sekitar kawasan UKM.
        Justeru itu, corak pelaksanaan yang berbeza ini berjaya menarik seramai 110 orang peserta untuk turut serta sekaligus menjayakan program ini. Hal ini mendapat pujian daripada penasihat kelab NAHDAH, Encik Hakim bin Zainal merangkap perasmi program kali ini. Beliau berharap agar program seperti ini akan mendapat lebih ramai lagi penyertaan dan sambutan dari kalangan mahasiswa/i JPATI serta para pensyarah pada masa akan datang. Di samping itu, beliau turut menyebut bahawa bagi meningkatkan intelektual mahasisawa/i JPATI, program yang berbentuk kesukanan perlu diselang selikan dengan pengajian ilmu bahasa Arab agar ia dapat selari dengan hasrat jabatan.




Aktiviti ini berlangsung selama 1 hari iaitu bermula pada 8 pagi sehingga 6 petang diisi dengan pelbagai aktiviti seperti menterjemahkan lagu Melayu ke dalam bahasa Arab, serta pelbagai permainan yang lain. Pengerusi Lajnah Sukan dan Kebudayaan, saudara Aliff Najmi mengucapkan ribuan terima kasih kepada smua barisan pimpinan NAHDAH yang ringan tangan dalam menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga kepada mahasiswa/i JPATI yang sudi meluangkan waktu pada hujung minggu sekaligus menjayakan program ini. 







Kejohanan Piala Dekan bakal berlangsung tidak lama lagi. Oleh yang demikian, kami dari Lajnah Sukan dan Kebudayaan berharap agar pelajar Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam dapat mengekalkan kejuaraan lalu pada sesi 2016/2017 ini.

Lajnah Sukan dan Kebudayaan,
Kelab Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

BULETIN 2.0 SESI 2016/2017


TIPS USAHAWAN MUDA

1) Disiplin


Anda perlu ada disiplin yang kuat dalam setiap bisnes yang anda pilih. Contohnya, anda memilih untuk menjadikan blogging sebagai bisnes. Anda perlu ada keazaman yang kuat untuk terus menulis. Menulis di blog tidaklah semudah yang disangka. Ada kalanya ramai orang yang datang, ada kalanya tidak ada langsung. Namun, usaha untuk menulis harus diteruskan.


2) Promosi


Anda bermula daripada sifar. Anda seorang yang masih muda. Tidak mempunyai apa-apa latar belakang perniagaan. Jadi anda perlu menjual diri anda kepada prospek anda. Tujuan pertama, supaya anda dikenali. Apabila anda dikenali, anda telah memperluaskan prospek anda. Tujuan kedua, supaya pelanggan tahu produk anda. Apabila pelanggan tahu produk anda, mereka akan meletakkan produk anda di dalam opsyen mereka. Ini telah menaikkan kebarangkalian produk and untuk dijual. Tujuan ketiga, mencipta kesinambungan, maksudnya, orang ramai tengok atau dengar sahaja nama anda, mereka tahu, anda melakukan bisnes ini. Contohnya, orang dengar nama Saiful Nang, orang tahu yang beliau seorang fotografer professional.


3) Penyelidikan


Ataupun kata lainnya membaca. Membaca adalah jambatan ilmu. Jika anda ingin serius dalam bisnes anda, anda harus terus membaca. Ini untuk meningkatkan kefahaman anda dalam sesuatu bidang. Juga untuk mengubah diri anda menjadi seorang pakar. Tidak susah untuk membaca. Yang penting istiqamah. Satu hari satu jam, satu minggu satu buku, satu bulan 4 buku dan satu tahun anda akan menghabiskan 48 buah buku. Cukup untuk menjadikan anda pakar dalam bidang anda.


Lajnah Keusahawanan,
Kelab Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

BULETIN 2.0 SESI 2016/2017


KOMIK

  


  



  


  


..TAMAT..


Lajnah Kerohanian,
Kelab Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

BULETIN 2.0 SESI 2016/2017



Ukhuwwah dalam Persatuan/Kelab


Apa itu ukhuwwah??
Dari segi bahasa ia berasal daripada perkataan akhun yang bermaksud saudara. Dari segi istilah pula bermaksud perasaan kasih sayang, tolong menolong, bantu membantu, bertolak ansur antara satu sama lain dan mencintai sesama umat Islam hanya kerana Allah. (Menurut al-Quran, Surah al-Hujurat: 10)

Nilai ukhuwwah dalam persatuan/kelab:

Menjadi satu lumrah kehidupan manusia bahawa ia memerlukan orang lain dalam kehidupannya sepertimana sabda   Nabi Muhammad s.a.w, “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan dan saling mengukuhkan antara satu sama lain”(HR Bukhari). Berdasarkan hadis ini, Nabi Muhammad s.a.w membuat perumpamaan orang beriman dengan sebuah bangunan. Apa yang dapat kita fahami daripada hadis tersebut adalah fungsi seorang mukmin dengan mukmin yang lain. Dalam sebuah bangunan ada mukmin yang berfungsi sebagai pintu, ada yang berfungsi sebagai atap, ada yang  berfungsi sebagai tingkap, ada yang berfungsi sebagai kayu. Kesemuanya mempunyai fungsi yang berbeza untuk memastikan bangunan tersebut agar tetap berdiri kukuh.


            Menyertai persatuan/kelab mejadi salah satu platform untuk menyemai nilai-nilai ukhuwwah. Dalam kalangan ahli, Allah s.w.t kurniakan kelebihan yang berbeza-beza. Ada yang dikurniakan dengan sesuatu kelebihan yang tidak dimiliki oleh ahli yang lain dan ada pula kelebihan yang dikurniakan kepada ahli lain yang tidak ada pada dirinya. Maka kelebihan-kelebihan tersebutlah yang akan mengukuhkan lagi ukhuwwah semua ahli dalam persatuan/kelab tersebut.



            Jangan sesekali riak dengan sedikit sahaja kelebihan yang Allah s.w.t kurniakan. Ia akan menjejaskan nilai ukhuwwah persatuan/kelab tersebut seterusnya menyebabkan hubungan sesama ahli menjadi renggang. Jangan sesekali juga merasakan diri kita lebih pandai daripada orang lain walaupun itu hakikatnya agar kita mengenal apa itu tawadu’. Program-program yang dirancang pasti akan melalui pelbagai proses yang kadang-kadang agak menyukarkan. Kepenatan itu juga merupakan suatu perkara yang biasa dirasai dalam melaksanakan program persatuan/kelab. Namun segala kepenatan itu akan hilang sekiranya semua ahli memberikan kerjasama dengan baik.

            Keikhlasan dalam melakukan kerja persatuan/kelab di IPTA amat penting memandangkan ia adalah kerja yang tidak dinilai dengan wang ringgit. Tidak dinafikan memegang jawatan dalam persatuan/kelab merupakan sesuatu tanggungjawab yang besar bagi sesiapa yang menganggapnya suatu amanah yang pasti akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Kamu semua adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya”. Sifat ikhlas akan mendorong seseorang untuk menyempurnakan hidup berukhuwwah dan akan melahirkan insan yang berkhidmat tanpa noktah akhir.



Ahli Majlis Tertinggi,
Kelab Pengajian Arab dan Tamadun Islam.