DENGAN
DUNIA ISLAM MASA KINI
(Relevance Factor of Islamic Sciences’ Excellence towardsMuslim World Today)
Oleh:
Roziah Sidik @ Mat Sidek*
Abstrak
Artikel
ini mengupas relevansi faktor kegemilangan sains dalam tamadun Islam dengan
dunia Islam masa kini. Justeru, ia akan mendedahkan faktor-faktor yang pernah
membawa kepada kegemilangan sains dalam tamadun Islam terlebih dahulu sebelum
dikupas dari segi relevansinya dengan dunia Islam masa kini. Artikel ini
ditulis dengan tujuan untuk menilai kerelevanan faktor-faktor tersebut untuk
dimanfaatkan bagi melonjakkan kegemilangan sains dalam tamadun Islam masa kini.
Justifikasinya ialah, jika faktor ini pernah melakukan peranan tersebut, tidak
mustahil faktor yang sama jika dilakukan akan mengembalikan semula kegemilangan
sains dalam tamadun Islam. Penulis menggunakan pendekatan meneliti kandungan
sumber pelbagai bahasa untuk mendapatkan faktor yang dimaksudkan. Hasil
penelitian tersebut mendapati terdapat sekurang-kurangnya tujuh faktor yang
pernah memacu kegemilangan sains dalam tamadun Islam. Namun dalam artikel ini,
penulis memilih untuk mengupas lima faktor sahaja iaitu sikap Islam yang
menggalakkan intelektualisme, pertembungan antara tamadun Islam dengan tamadun
purba di Timur Tengah, sikap positif pemerintah, peranan orang perseorangan dan
polisi sains. Penulis turut menambah satu lagi faktor lain iaitu faktor
kolaborasi antara Muslim dengan non Muslim. Walaupun banyak sumber tidak
menyebut perkara ini sebagai satu faktor yang membantu kegemilangan sains dalam
tamadun Islam, namun hakikatnya jalinan kerjasama antara dua pihak inilah yang
turut membantu melonjak sains dalam tamadun Islam ke persada dunia.
Faktor-faktor yang dikupas ini juga turut menunjukkan kerelevanannya dengan
dunia Islam masa kini.
Kata kunci: Sains
dalam tamadun Islam, sains Islam, kegemilangan tamadun Islam, faktor
kegemilangan tamadun Islam
Abstract
This
article analyses the relevance of the factors of scientific excellence in the
Islamic civilization to the present Islamic world. Accordingly, it exposes the
factors which led to scientific excellence in the Islamic civilization before
analysis of their relevance to the present Islamic world. This article is
intended to assess the relevance of the said factors so as to enable a quantum
leap in scientific excellence of the present Islamic world. The jusitification
for it is that if a given factor played a role, then by the same token, it is
not impossible that the same can be done to restore scientific excellence in
the present Islamic world. The writer
* Roziah Sidik @ Mat Sidek, Ph.D
merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti
Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Email: roziah@ukm.my.
uses the
approach of detailed analysis of contents of sources in various languages to
deduce the intended factors. Results show at least seven factors which spurred
scientific excellence in Islamic civilization. However, the writer chooses to
analyse only five factors, which are, the spirit of Islam which encourages
intellect, the meeting of Islamic civilization and ancient civilizations in the
Middle East, the positive attitude of the rulers, the role of private
individuals and the science policy. The writer also added one more factor, that
is, collaboration between Muslims and non-Muslims. Although not many sources
refer to this as a contributory factor to scientific excellence in Islamic
civilization, the cooperation forged between the two parties did assist to spur
scientific excellence onto the world scene. The said factors thus prove their
relevance to the present Islamic world.
Keywords: scientific
excellence in the Islamic civilization, factors of excellence in the
Islamic civilization
Pengenalan
Kementerian
Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan Pameran Kegemilangan Sains dalam
Tamadun Islam bertemakan Sains Islam Mendahului zaman di Pusat Konvensyen Kuala
Lumpur pada 8-14 Januari 2007 dan di Pusat Sains Negara pada 23 Januari – 31
Mac 2007. Usaha y ang dilakukan ini sangat baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan
kegemilangan sains Islam telah lama dibayangi oleh sains Barat. Penulis
tertarik dengan kenyataan Mohd. Khuzairi Ismail dalam Utusan Malaysia 22
Disember 2006 menerusi rencana “Menyingkap Jendela Sains Islam” yang berbunyi
“Namun, persoala n yang perlu setiap daripada kita yang bergelar umat Islam
renungkan ialah – sam pai bilakah nostalgia gemilang keilmuan Islam itu hanya
tinggal kenangan tanpa sebarang usaha meneruskan kecemerlangan tersebut?”
Justeru, perlu ada usaha bersungguh-sungguh dari semua pihak untuk
mengembalikan semula kegemilangan sains Islam.
Persoalannya,
apa usaha yang perlu dilakukan? Dunia Islam masa kini boleh sahaja melakukan
segala macam usaha seperti memberi kesedaran peri pentingnya sains kepada
masyarakat di dunia Islam, memberi insentif yang menggalakkan kepada saintis
atau sarjana untuk menyokong kajian-kajian saintifik mereka dan menyediakan
segala kemudahan kepada sarjana termasuk ruang, peralatan dan peluang. Tetapi,
bukankah melihat kembali kenapa sains dalam tamadun Islam boleh meniti
kegemilangan akan membolehkan semua pihak mendalami punca sebenar berlakunya
kegemilangan sains dalam tamadun Islam? Bukankah perkara ini juga nantinya,
jika relevan, akan membuatkan semua pihak boleh melakukan perkara yang sama dan
melonjakkan kembali kegemilangan sains dalam tamadun Islam?
Kenapa
sains dalam tamadun Islam gemilang?
Rata-rata
pihak yang terlibat dalam bidang sains Islam, sejarah dan falsafah sains Islam
atau yang seangkatan dengannya maklum bahawa kegemilangan sains dalam tamadun
Islam berlaku antara abad ke-8M hingga abad ke-13M1 sehingga
ia menjadi rujukan kepada negara Barat. Kegemilangan ini dikaitkan dengan
beberapa faktor.
Sikap
Islam yang menggalakkan intelektualisme
Pada
peringkat awal sarjana Islam mula bergiat dalam bidang keilmuan, mereka
sebenarnya didorong oleh faktor keagamaan. Dari segi dorongan keagamaan, ia
didasarkan kepada seruan di dalam al-Qur’an sendiri agar umat Islam mengkaji
perkara-perkara yang ada di langit dan juga di bumi yang boleh dijadikan
sebagai bukti-bukti kewujudan dan kekuasaan Allah. Terdapat banyak ayat
al-Qur’an yang menggalakkan umat manusia mengkaji fenomena alam.2 Antaranya
ialah ayat 43 surah al-CAnkabut yang bermaksud “Banyak
perumpamaan yang Kam i hadapkan (dalam al-Qur’an) kepada manusia, tetapi tidak
dimengerti, kecuali ahli-ahli ilmu pengetahuan” dan ayat 7-8 surah Qaf yang
bermaksud “Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung
yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang
mata untuk menjadi pengajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang
mengingati Allah”. Ayat 68-69 dari surah al-Nahl juga mengajak umat manusia
berfikir tentang ilmu. Ayat tersebut bermaksud “Dan Tuhanmu mengilhamkan k
epada lebah, buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di
tempat-tempat yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis
bungaan dan buah-buahan yang engkau sukai serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu
yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. Dengan itu akan keluarlah dari
dalam badanmu minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar
bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian
itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang
berfikir”. Selain al-Qur’an, hadith Nabi s.a.w. juga didapati turut menegaskan
perkara yang sama. Antaranya ialah “Menuntut ilmu itu wajib bagi sekalian
Muslimin dan Muslimat”.
Peringkat
awal perkembangan kegiatan keilmuan ini juga dikaitkan dengan keperluan dalam
kehidupan masyarakat. Misalnya, keperluan dalam kehidupan seperti wujud keadaan
untuk menentukan arah kiblat sembahyang, menentukan anak bulan Ramadhan untuk
permulaan berpuasa dan anak bulan Syawal untuk berhari raya serta menentukan
waktu bermula puasa dan berbuka. Keperluan ini mendorong kepada kajian tentang
ilmu astronomi. Keperluan juga wujud untuk faraid dan muamalat yang kemudiannya
mendorong kepada kajian tentang ilmu matematik.
1 Wan Fuad
Wan Hassan (1990), Ringkasan Sejarah Sains, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, h. 143.
2 Beg, M.A.J
(1980), The Image of Islamic Civilization, Kuala Lumpur: Penerbit UKM, h. 66.
Pertembungan
Antara Tamadun Islam Dengan Tamadun Purba di Timur Tengah
Faktor kedua ialah berlakunya pertembungan antara
tamadun Islam dengan tamadun purba di Timur Tengah iaitu Mesir. Sebelum Mesir
dikuasai oleh Islam, ia telahpun menerima tamadun Yunani ekoran penghijrahan
ilmu Yunani ke sana. Penghijrahan ini pula ada kaitan dengan kempen peluasan
jajahan oleh Alexander the Great. Rombongan Alexander the Great tidak hanya
terdiri daripada tentera, tetapi juga turut membawa bersamanya ahli falsafah,
ahli perubatan dan juga ahli sains Yunani. Tujuan beliau berbuat demikian
adalah untuk menyebarkan tamadun Yunani dan juga untuk mengambil apa-apa ilmu
yang berguna dari tamadun yang dijajah. Ketika berada di Mesir juga, Alexander
the Great telah menubuhkan pusat dan bandar baru seperti Alexandria yang
akhirnya muncul sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan utama kerajaannya,
serta juga menjadi pusat tumpuan para cendekiawan. Kepesatan pembangunan bandar
ini bagaimanapun dikaitkan dengan usaha Ptolemy yang mentadbir Mesir selepas
kematian Alexander the Great pada tahun 323 S.M.3 Pada
tahun 642M, Alexandria telah berjaya ditakluk oleh Islam di bawah pimpinan CAmru bin
al-CAs.4 Pada masa
inilah berlaku pertembungan awal antara budaya Islam dengan budaya di Mesir
termasuklah budaya Yunani yang telahpun bertapak di sana. Orang Islam yang
memasuki kawasan tersebut dapat melihat dan merasai sendiri tamadun Yunani yang
wujud di tempat itu pada ketika itu. Keadaan ini memberi peluang kepada orang
Islam untuk mendalami tamadun Yunani dan seterusnya mengadaptasinya dengan
ilmu-ilmu ilmu-ilmu Islam yang sedia ada.5
Sikap Positif Pemerintah
Faktor ketiga ialah sikap positif pemerintah. Jika
tumpuan difokuskan kepada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, maka kita
akan menemui catatan bahawa khalifah yang memerintah dalam kerajaan tersebut
bukan hanya terlibat secara langsung dalam urusan politik dan agama, malah
turut menunjukkan kecenderungan kepada bidang sains.6 Khalifah
turut membuat hubungan dan memberi galakan kepada sarjana serta memberi layanan
yang istimewa kepada golongan tersebut. Dalam soal layanan ini, khalifah
didapati tidak membezakan keturunan, agama dan bangsa. Misalnya khalifah Abu Jacfar
al-Mansur (136-158H/754-775M) dicatatkan sebagai khalifah pertama yang
mendekati ahli astronomi seperti al-Nawbakht.7 Malah,
khalifah al-Mansur dikatakan telah mengambil inisiatif mengundang al-Nawbakht
untuk berkhidmat di istananya.
3 Hill,
Donald R (1993), Islamic Science and Engineering, Edinburgh: Edinburgh
University Press, h. 1-4.
4
Ibn Kathir,
et.al. (1997), Al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-CArabi, jil.
7, h.72-74.
5 Hikmat,
Najib CAbd al-Rahman (1985), Dirasat fi Tarikh al-CUlum cind al-CArab, T.tp: Jamicat
al-Mawsil, h. 20.
6 Surur,
Jamal al-Din (1965), Tarikh al-Hadarah al-Islamiyyah fi al-Sharq, T.tp:
Maktabat al-Injlu al-Misriyyah, h. 200-201.
7
Sarton. G
(1975), Introduction to the History of Science, Florida: Robert
E.Krieger Publishing Company, jil.1, h. 531.
Pandangan dan nasihat al-Nawbakht digunakan bagi
tujuan melicinkan urusan pentadbiran negara. Dalam pembinaan kota Baghdad
misalnya, khalifah al-Mansur telah meletakkan asas pembinaan mengikut masa yang
dianggap sesuai dari segi pengiraan falak yang dilakukan oleh al-Nawbakht.
Khalifah al-Mansur juga merupakan khalifah yang bertanggungjawab menjemput
Jurjis bin Jibra’il bin Bakhtiashuc untuk
berrkhidmat sebagai doktor di istana.8
Sikap positif pemerintah terhadap bidang sains
juga boleh dilihat menerusi peranan yang dimainkan oleh khalifah al-Ma’mun (198
-218H/813-823M). Beliau telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan hubungan
dengan negara luar seperti Byzantium dalam usaha untuk mendapatkan buku-buku
yang tersimpan di tanah jajahan Byzantium seperti Pulau Sicily dan Pulau
Cyprus. Hubungan ini ternyata berhasil apabila Ibn al-Nadim9 dan
al-Daffac10 mencatatkan bahawa khalifah al-Ma’mun dengan
kebenaran Maharaja Byzantium, telah menghantar rombongan seperti Hunayn bin
Ishaq, Ibn al-Batriq dan Yuhana bin Masawayh untuk mendapatkan buku-buku Greek
dalam bidang perubatan dan falsafah dari tanah jajahan Byzantium.
Peranan Orang Perseorangan
Faktor ketiga ialah peranan orang perseorangan
atau pihak tertentu selain pemerintah. Faktor ini sekaligus membuktikan bahawa
khalifah atau pemerintah sebenarnya tidak bersendirian dalam memajukan sains
pada waktu itu. Mengharapkan khalifah semata-mata untuk melakukan sesuatu
tentunya bukan satu cara yang baik. Justeru, tidak hairanlah apabila sejarah
merekodkan penglibatan beberapa individu yang turut sama bertanggungjawab
memajukan sains dalam tamadun Islam. Keluarga Banu Musa bin Shakir misalnya,
mengambil inisiatif dengan menghantar sarjana seperti Hunayn bin Ishaq ke tanah
jajahan Byzantium untuk mendapatkan buku-buku dan manuskrip. Usaha ini ternyata
membuahkan hasil apabila mereka berjaya membawa pulang buku-buku falsafah,
muzik dan juga perubatan.11 Lebih dari itu, keluarga Banu
Musa bin Shakir juga turut memberi ganjaran kepada sarjana-sarjananya seperti
Hunayn bin Ishaq, Thabit bin Qurrah dan Hubaysh bin al-Hassan yang berusaha
menterjemah dan menyalin buku-buku dari bahasa asing. Malah dikatakan bahawa
keluarga Banu Musa bin Shakir menghabiskan 500 dinar setiap bulan kepada Hunayn
bin Ishaq untuk usaha menterjemah dan menyalin ini. Ada juga ketikanya
perkhidmatan beliau dibayar dengan emas mengikut berat buku yang diterjemahkan.12
Bukan setakat membiayai individu lain, tetapi
mereka juga turut sama berkecimpung dalam perkembangan ilmu sains dengan
menghasilkan karya-karya
8 Ibid., h. 537.
9 Ibn
al-Nadim, et.al (1997), al-Fihrist, Beirut: Dar al-Macrifah, h.
243 & 339.
10 Al-Daffac, CAli CAbd Allah
(1983), Aclam al-CArab wa
al-Muslimin fi al-Tib, Beirut: Mu’assasat al-Risalah, h. 38.
11 Hasan,
Hasan Ibrahim (1964), al-Tarikh al-Islami al-Siyasi wa al-Dini wa al-Thaqafi
wa al-Ijtimaci,
Misr: Maktabat al-Nahdah, jil. 2, h. 346.
12 Hanifi,
M.A (1962), A Survey of Muslim Institutions and Culture, Lahore: S.J.
Muhammad Ashraf,
h. 178-179.
mereka sendiri terutamanya dalam bidang aritmetik
dan astronomi.13 Selain daripada keluarga Banu
Musa bin Shakir, keluarga Barmaki juga turut memainkan peranan memajukan sains.
Yahya bin Khalid al-Barmaki misalnya telah mengambil inisiatif meminta seorang
pendeta menterjemahkan buku pertanian yang diperolehi daripada Byzantium ke
dalam bahasa Arab.
Polisi Sains Negara
Faktor keempat ialah polisi sains negara. Tamadun
Islam membuktikan bahawa faktor ini turut membantu kegemilangan sains. Kerajaan
Abbasiyyah misalnya telah memperkenalkan beberapa polisi sains yang jelas
termasuk peranan bahasa Arab dan kegiatan penterjemahan serta penubuhan
akademi.14
Keajaiban bagi tamadun Islam ialah apabila bahasa
Arab menjadi bahasa bagi semua orang yang tinggal antara Baghdad dengan
Cordova. Pada masa tersebut, bahasa Arab ialah bahasa yang digunakan dalam
kehidupan seharian. Ia merupakan bahasa sains dan sastera, menggantikan
sepenuhnya penggunaan bahasa-bahasa seperti Coptic, Aramaic, Greek dan Latin.
Menyedari hakikat bahawa hanya bahasa Arab yang digunakan oleh masyarakat dalam
dunia Islam ketika itu, maka Khalifah yang memerintah telah mengambil langkah
positif untuk menggerakkan usaha-usaha menterjemahkan sains-sains Greek dari
tamadun Hellenistik, Syria dan juga India ke dalam bahasa Arab.15 Kegiatan
penterjemahan ini telah berjaya menghilangkan sempadan budaya antara sarjana
dengan orang awam. Ini kerana pembelajaran mengenai ilmu-ilmu sains boleh
dicapai oleh semua orang. Apabila ini berlaku, ia memberi ruang yang luas
kepada semua orang untuk turut sama memajukan bidang sains dalam tamadun Islam.
Dalam konteks kegiatan penterjemahan pula, ia
sebenarnya telah berlaku sejak kerajaan Islam diperintah oleh Banu Umayyah
(661-750M)16 lagi. Ketika itu, aktiviti terjemahan berkisar
sekitar ilmu Yunani tertentu sahaja seperti perubatan, astronomi, kimia dan
falsafah. Apabila kerajaan Abbasiyyah mengambil alih pemerintahan, kegiatan ini
masih berterusan. Pada zaman pemerintahan khalifah kerajaan Abbasiyyah yang
kedua, iaitu khalifah al-Mansur (754-775M) misalnya, terjemahan ilmu-ilmu
Yunani telah dipergiatkan. Malah, ilmu-ilmu dari tamadun lain seperti India
juga turut diterjemahkan. Aktiviti terjemahan ini melibatkan pelbagai bidang
seperti perubatan, astronomi dan matematik. Aktiviti ini masih lagi berterusan
pada zaman pemerintahan khalifah Harun al-Rashid (786-809M) dan khalifah
al-Ma’mun (813-833M).
13 Tuqan, Qadri Hafiz (1954), Turath
al-CArabi al-CIlmi fi
al-Riyadiyyat wa al-Falak, Al-Qahirah: Matbacat Lajnat
al-Ta’lif wa al-Turjumah wa al-Nashr, h. 158.
14 Al-Hassan,
et.al (1986), Islamic Technology, Cambridge: Cambridge University Press,
h. 8-11.
15 Ibid., h. 9-10.
16
Wan Fuad
Wan Hassan (1990), Ringkasan Sejarah Sains, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, h. 146.
Secara keseluruhannya, Nasr17
melaporkan bahawa kegiatan penterjemahan karya-karya penting saintifik dari
tamadun lain ke dalam bahasa Arab berlaku selama lebih kurang 150 tahun, iaitu
bermula pada abad ke2H/8M hingga abad ke 4H/10M. Usaha penterjemahan ini
bukanlah satu tugas yang boleh dipandang remeh. Lebih-lebih lagi apabila
penterjemahan itu melibatkan karya saintifik agung yang pernah dihasilkan oleh
tokoh tokoh ternama seperti Hippocrates, Aristotle, Theophrastus, Euclid,
Ptolemy, Dioscorides, Galen dan ramai lagi.
Antara karya yang pernah diterjemahkan ialah Megale
syntaxiz mathematike iaitu sebuah karya astronomi tulisan Ptolemy.
Penterjemahannya ke dalam bahasa Arab sebanyak beberapa kali dilakukan oleh
individu-individu seperti Hunayn bin Ishaq dan Thabit bin Qurrah. Versi Arabnya
menggunakan judul Almajisti. Karya lain mengenai astronomi yang juga
dihasilkan oleh Ptolemy iaitu Geographike Syntaxis18 juga turut
diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Versi Arabnya menggunakan judul Kitab
Jughrafiyya fi al-Ma’mur wa Sifat al-Ard.19 Manakala
Siddhanta yang juga merupakan sebuah karya
astronomi dan ditulis dalam bahasa Sanskrit dengan judul Brahmasphutasiddhanta
turut diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Versi Arabnya menggunakan judul al-Sind
Hind.20 Penterjemahannya diusahakan oleh
Abu CAbd Allah
Muhammad bin Ibrahim al-Fazari atas arahan pemerintah kerajaan Abbasiyah yang
kedua iaitu khalifah al-Mansur (136-157H/754-775M).
Selain itu, De Materia medica yang
merupakan sebuah karya mengenai farmakologi dan dihasilkan oleh Dioscorides
telah diterjemahkan oleh Istafan bin Basil dan Hunayn bin Ishaq. Versi Arabnya
menggunakan tajuk Kitab al-Hasha’ish fi Hayula al-Tib. Manakala
Kalile va Demne21 dalam
bahasa Pahlavi telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab menggunakan
judul Kalilah wa Dimnah. Usaha penterjemahan karya ini dilakukan
oleh Ibn al-Muqaffac. Kegiatan penterjemahan
ini berjaya menghasilkan karya sains dalam bahasa Arab. Justeru ini menjadikan
ilmu sains dari tamadun lain boleh diakses dengan mudah oleh semua lapisan
masyarakat dalam tamadun Islam pada waktu itu. Dengan ini juga segenap lapisan
masyarakat boleh sama-sama memberikan sumbangan ke arah peningkatan bidang
sains dalam tamadun Islam.
Dalam konteks penubuhan akademi pula, ia ternyata
telah membantu kejayaan sains dalam tamadun Islam menerusi peranan yang
dimainkan. Antara akademi yang pernah ditubuhkan oleh kerajaan Islam satu
ketika dahulu ialah Bayt al-
17 Nasr, Seyyed Hossein (1976), Islamic
Science: An Illustrated Study, London: World of Islam Festival Publishing,
h. 12.
18 Ronan, C. A (1984), The
Cambridge Illustrated History of the World’s Science, Cambridge: Cambridge
University Press, h. 122.
19 Ibn
al-Nadim, Muhammad bin Ishaq (1997), al-Fihrist, h. 330; Marhaban,
Muhammad CAbd al-Rahman (1988), Al-Jamic fi
Tarikh al-CUlum cind al-CArab, Beirut:
Manshurat Bahr al-Mutawassit, h.
228.
20 Nallini,
Karlu (1911), CIlm al-Falak: Tarikhuh cind al-CArab fi
al-Qurun al-Wusta, T.tpt: Maktabat al-Thaqafah al-Diniyyah, h.
149-150; Marhaban, Muhammad CAbd
al-Rahman (1988), Al-Jamic fi Tarikh
al-CUlum cind al-CArab, h. 221;
Ronan, C. A (1984), The Cambridge Illustrated History of the World’s
Science, h. 121.
21 http://.wikipedia.org/wiki/Kalilah_wa_Dimnah#origins_and_function
Hikmah dan Dar al-Hikmah. Bayt al-Hikmah mencapai
puncak keagungannya pada zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun. Akademi ini
menjalankan kegiatan menterjemah karya-karya saintifik dan juga falsafah dari
bahasa lain ke bahasa Arab,22
penyalinan buku-buku yang diterjemahkan dan pengumpulan, pemeliharaan serta
penyimpanan manuskrip. Akademi ini juga turut mempunyai kakitangan yang terdiri
daripada saintis terkemuka seperti keluarga Banu Musa bin Shakir, Hunayn bin
Ishaq dan Thabit bin Qurrah, penterjemah, penyalin dan binders.23 Akademi
ini turut menyediakan kemudahan seperti gaji yang tinggi untuk menarik
ramai cendekiawan dan ahli sains terutama yang bukan Islam (sama ada Yahudi
atau Nasrani) untuk menjalankan penyelidikan dan kajian-kajian saintifik.
Dar al-Hikmah pula ialah akademi yang ditubuhkan
pada zaman kerajaan Fatimiyyah (909-1171M). Ia dibangunkan oleh al-Hakim pada
tahun 1004M. Ia sebenarnya sebahagian daripada istana khalifah dan turut
mengandungi perpustakaan dan bilik bacaan. Ia juga turut bertindak sebagai
tempat pertemuan para juri, ahli bahasa, ahli logik, doktor, ahli astronomi dan
ahli matematik. Urusan pengendaliannya pula dilakukan oleh sarjana terkemuka
yang sering mengundang saintis untuk mengadakan aktiviti ilmiah di sana.24 Aktiviti
yang dijalankan oleh kedua-dua akademi ini memberikan sumbangan yang bukan
sedikit kepada perkembangan bidang sains dalam tamadun Islam. Dengan fungsinya
yang pelbagai, ditambah pula dengan sokongan dan dokongan sarjana yang
terkemuka yang berkhidmat di sana, ia berjaya menarik minat banyak pihak untuk
menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Ini semua mendorong kepada
berlakunya perkembangan yang pesat dalam bidang sains dalam tamadun Islam.
Kolaborasi Antara Muslim Dengan
Non Muslim
Penulis pernah membentangkan mengenai faktor ini25 dalam
Simposium Tamadun Islam Abad Pertengahan pada 16 September 2006 di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada pandangan penulis, faktor ini tidak wajar
diketepikan. Bukan kerana penulis bermaksud untuk mengetengahkan peranan non
Muslim dan meletakkan mereka setaraf dengan sarjana Muslim dari segi sumbangan
kepada kegemilangan tamadun Islam, tetapi lebih kepada mengiktiraf sewajarnya
peranan besar mereka dalam melonjak kegemilangan sains tamadun Islam. Pandangan
penulis mengenai faktor ini didasarkan kepada catatan George Sarton26 yang
berbunyi:
…out of eight physicians whom I have selected as
th e most important, six were Christians… Of the two remaining, one was a tr ue
Arab, the other a Persian…
22 Muntasir,
CAbd
al-Halim (1969), Tarikh al-CIlm, Misr: Dar
al-Kitab al-Lubnani, h. 61-62.
23 Al-Hassan,
Y dan Hill, D (1986), Islamic Technology, h. 10-11.
24 Ibid., h. 11.
25 Roziah
Sidik @ Mat Sidek (2006), “Kolaborasi Musli n-Non Muslim: Pemacu Kegemilangan
Sains dan Teknologi Era ‘Abbasi”, (Prosiding Simposium Ta madun Islam Abad
Pertengahan, Bangi: UKM), h. 89-95.
26 Sarton,
George (1975), Introduction to the history of science, jil. 1, h.
589-590.
Walaupun ramai sarjana non Muslim yang memberi
sumbangan kepada kegemilangan sains dalam tamadun Islam, penulis sekadar ingin
mengemukakan beberapa nama sahaja sebagai contoh. Antaranya ialah Hunayn bin
Ishaq27 dan Jurjis bin Jibra’il bin Bakhtiyashu c28 Nama
penuh Hunayn ialah Abu Zayd Hunayn bin Ishaq al-CIbadi.
Beliau memainkan peranan yang sangat besar khususnya dalam usaha menterjemahkan
karya dari tamadun lain ke bahasa Arab. Ibn al-Nadim29 (1977:
356) dan Sarton30 mencatatkan bahawa beliau pernah
diberi tanggungjawab sebagai penyelia projek terjemahan semasa pemerintahan
khalifah al-Mutawakkil, selain menjadi penterjemah paling terkemuka bagi
karya-karya dalam bidang perubatan.
Kebolehan dalam penterjemahan ini sudah pasti
dikaitkan dengan keupayaan beliau menguasai banyak bahasa. Jika diteliti kepada
catatan Nasr,31 didapati bahawa Hunayn belajar di
beberapa tempat berbeza termasuk Jundishapur, Baghdad dan seterusnya ke
Anatolia untuk meningkatkan pengetahuan beliau tentang bahasa. Malah, Ibn
al-Nadim32 melaporkan bahawa beliau ialah individu yang
fasih bukan sahaja dalam bahasa Arab dan Syria, tetapi juga dalam bahasa Greek.
Ibn Abi Usaybicah33 pula
menambah bahasa Parsi sebagai satu lagi bahasa yang dikuasai oleh Hunayn.
Dengan kemampuan bahasa yang tinggi ini tidak hairanlah apabila didapati Hunayn
boleh memberikan sumbangan yang besar kepada kegemilangan sains dalam tamadun
Islam menerusi penterjemahan karya-karya Galen, Hippocrates, Plato, Aristotle,
Dioscorides dan juga Ptolemy ke dalam bahasa Arab. Penulis tidak berhasrat
menyebut judul karya yang telah diterjemahkan memandangkan sebahagiannya telah
disebutkan pada bahagian awal tulisan ini.
Satu lagi nama sarjana non Muslim yang turut
memainkan peranan yang besar dalam melonjakkan kegemilangan sains dalam tamadun
Islam ialah Jurjis bin Jibra’il bin Bakhtiyashu c. Sumbangan
yang diberikan oleh Jurjis dilihat dari sudut khidmat beliau sebagai doktor di
istana khalifah selepas dijemput untuk berkhidmat di sana. Malah, beliau dan
ramai lagi ahli keluarganya yang berbangsa Parsi telah berkhidmat bukan hanya
dengan seorang khalifah Abbasiyyah, tetapi enam orang khalifah. Ibn al-Nadim34
mencatatkan bahawa keluarga ini pernah berkhidmat dengan khalifah Harun
al-Rashid, khalifah al-Amin, khalifah al-Ma’mun, khalifah al-Mu ctasim,
khalifah al-Wathiq dan juga khalifah al-Mutawakkil.
27 Ibid., h. 590; Nasr, S. H (1984), Science and
Civilization in Islam, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, h. 44.
28
Sarton,
George (1975), op.cit, h. 537; Nasr, S. H (1984), Science and
Civilization in Islam, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, h. 193.
29 Ibn
al-Nadim, Muhammad bin Ishaq (1997), al-Fihrist, h. 356.
30 Sarton,
George , (1975), op.cit, h. 611.
31 Nasr,
S. H (1984), op.cit, h. 44.
32 Ibn
al-Nadim, Muhammad bin Ishaq (1997), op.cit, h. 356.
33 Ibn
Abi Usaybicah (1965), CUyun
al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’, Bayrut, Dar Maktabat al-Hayah, h.
279.
34 Ibn
al-Nadim, Muhammad bin Ishaq (1997), op.cit, h. 358.
Jalinan
kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak ini membuktikan bahawa agama
yang dianuti oleh seseorang bukanlah menjadi perkiraan dalam usaha untuk
membantu kegemilangan sains dalam tamadun Islam. Ia juga menjadi petunjuk
bahawa pertukaran idea antara kedua-dua pihak yang berlainan agama, malah ada
juga yang berlainan bangsa sebenarnya tidak menjadi satu masalah.
Relevankan Faktor
Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam Era Kegemilangan Tamadun Tersebut Dengan
Dunia Islam Masa Kini?
Semua
pihak perlu akur bahawa sikap Islam yang menggalakkan intelektualisme tidak
berubah sama sekali. Persoalannya ialah kenapa sikap Islam ini mampu
melonjakkan kegemilangan sains dalam tamadun tersebut dan sikap Islam yang
masih kekal ini tidak pula mampu mengembalikan kegemilangan sains dalam tamadun
itu sehingga mampu menjadi rujukan kepada tamadun lain? Jika faktor sikap Islam
yang menggalakkan intelektualisme berjaya membawa kegemilangan kepada sains
dalam tamadun Islam, faktor yang sama juga sebenarnya boleh melonjakkan lagi
sekali kegemilangan sains tersebut. Jika ini tidak berlaku, pasti ada sesuatu
yang menjadi punca kepada keadaan ini. Penulis percaya sikap umat Islam itu
sendiri yang menjadi sebab musabab kenapa sikap Islam terhadap intelektualisme
gagal memacu sains dalam tamadun Islam ke puncak kegemilangan buat kesekian
kali. Dalam hal ini, penulis suka untuk menyebut sepotong ayat al-Qur’an iaitu
ayat 11 surah al-Ra cd yang bermaksud: “Sesungguhnya
Allah tidak merubah keadaan sesuatu k aum sehingga mereka merubah keadaan yang
ada pada diri mereka sendiri.” Penulis percaya, jika umat Islam mengambil
langkah proaktif sejajar dengan sikap Islam itu sendiri terhadap
intelektualisme, maka tidak mustahil untuk sains dalam tamadun Islam kembali
menjadi rujukan banyak pihak.
Dalam
konteks peranan pemerintah dan orang perseorangan yang terbukti menjadi faktor
kegemilangan sains dalam tamadun Islam, penulis percaya dunia Islam masa kini
masih bergantung harap kepada faktor ini untuk melonjakkan kembali sains dalam
tamadun Islam. Faktor ini mendedahkan bahawa wujudnya satu usaha bersama antara
semua pihak untuk menggemilangkan sains dalam tamadun Islam. Jika hanya
pemerintah bertungkus lumus untuk menjayakan pelbagai program untuk
meningkatkan pencapaian sains sedangkan pihak lain tidak melakukan perkara yang
sama atau jika hanya orang perseorangan pula yang melakukan pelbagai usaha
untuk meningkatkan pencapaian sains sedangkan pihak pemerintah tidak memberikan
sokongan, penulis yakin usaha itu tidak akan ke mana. Jadi, faktor ini dilihat
masih relevan untuk memacu kegemilangan sains dalam tamadun Islam.
Dari segi
polisi sains pula, penulis berpendapat setiap negara di dunia Islam masa kini
perlu mempunyai polisi atau dasar sains masing-masing. Dasar ini pula perlu
menggariskan dengan jelas misi dan matlamat untuk meningkatkan bidang sains
yang selari dengan prinsip Islam. Dasar ini pula sewajarnya disokong oleh satu
pelan tindakan untuk melaksanakan dasar tersebut. Namun, sebaik manapun dasar
yang dibangunkan, ia akan pincang jika tidak disusuli dengan tindakan proaktif
untuk melaksanakannya. Justeru, semua pihak dalam
mana-mana negara di dunia Islam masa kini perlu berganding bahu memastikan
pelaksanaan pelan tindakan agar selari dengan hasrat yang digariskan dalam
dasar sains di negara masing-masing.
Penulis juga percaya, faktor kolaborasi antara
sarjana Muslim dengan non Muslim untuk membangunkan sains masih lagi relevan
dengan keadaan di dunia Islam masa kini. Kepercayaan ini disandarkan kepada
asas bahawa semua pihak dalam sesebuah negara perlu berganding bahu menjayakan
misi membangunkan sains. Persoalannya, apakah sarjana Muslim dan non Muslim
boleh menolak ketepi soal agama seseorang sarjana, asal sahaja sains yang ingin
sama-sama dimajukan itu kekal selari dengan prinsip Islam? Bersediakah pula
sarjana non Muslim untuk membantu sarjana Muslim membangunkan sains Islam? Jika
dalam era kegemilangan tamadun Islam, faktor agama dilihat bukan halangan untuk
sama-sama memajukan bidang sains, apakah dalam era Islamophobia ini persepsi
non Muslim terhadap agama Islam masih baik? Jika dalam era kegemilangan tamadun
Islam, ciri kesejagatan Islam menjadi punca kenapa berlakunya kolaborasi antara
sarjana Muslim dan non Muslim,35 apakah
perkara yang sama masih boleh berlaku? Jika dalam era kegemilangan tamadun
Islam menyaksikan ciri toleran yang memungkinkan berlakunya pertukaran idea dan
penerimaan bakat asing36 telah membawa kepada kegemilangan
sains dalam tamadun Islam, apakah ciri yang sama masih boleh membawa kepada
berlakunya pertukaran idea antara sarjana Muslim dengan non Muslim dan
penerimaan bakat oleh kedua-dua pihak tersebut? Jika kesemua persoalan tersebut
memberikan jawapan yang positif, tidak mustahil era kegemilangan sains dalam
tamadun Islam boleh berulang kembali.
Kesimpulan
Pada dasarnya, banyak lagi faktor yang boleh
dikaitkan sebagai agen yang melonjakkan kegemilangan sains dalam tamadun Islam.
Antara yang tidak disentuh di sini ialah naungan yang diberikan kepada saintis
yang terangkum dalam satu faktor yang lebih besar iaitu polisi sains, faktor
politik dan juga faktor ekonomi. Kalau inilah antara faktor yang pernah
menobatkan kegemilangan sains dalam tamadun Islam dan ia pula dilihat masih
relevan dengan dunia Islam masa kini, apa pula alasan yang boleh diberikan
untuk tidak mengiktirafnya sebagai antara faktor yang memungkinkan sains Islam
mendaki tangga kegemilangan sekali lagi. Justeru, marilah sama-sama kita
mulakannya atau kalau usaha ini dirasakan sudah pun dimulakan, maka marilah
sama-sama kita teruskan dan pergiatkan.
35 Kettani,
M. Ali (1991), “Sains dan Teknologi dalam Islam: Sistem Nilai Sandaran”, Sentuhan
Midas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 114.
36 Ibid., h. 115.
Rujukan
Beg, M.A.J (1980), The Image of Islamic Civilization,
Kuala Lumpur: Penerbit UKM.
Al-Daffac, CAli CAbd Allah (1983), Aclam al-CArab wa al-Muslimin fi
al-Tib,
Beirut:
Mu’assasat al-Risalah.
Hanifi, M.A (1962), A Survey of Muslim Institutions and
Culture, Lahore: S.J. Muhammad Ashraf.
Hasan, Hasan Ibrahim (1964), al-Tarikh al-Islami al-Siyasi
wa al-Dini wa al-Thaqafi wa al-Ijtimaci, Misr:
Maktabat al-Nahdah.
Al-Hassan, Y dan Hill, D (1986), Islamic Technology,
Cambridge: Cambridge University Press.
Hikmat, Najib CAbd al-Rahman (1985), Dirasat
fi Tarikh al-CUlum cind al-CArab,
T.tp.:
Jamicat
al-Mawsil.
Hill, Donald R (1993), Islamic Science and Engineering,
Edinburgh: Edinburgh University Press.
Ibn Abi Usaybicah (1965),
CUyun
al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’, Beirut: Dar Maktabat al-Hayah.
Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Isma cil (1997),
Al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al- CArabi.
Ibn
al-Nadim, Muhammad bin Ishaq (1997), al-Fihrist, Beirut: Dar al-Macrifah.
Kettani, M. Ali (1991), Sains dan Teknologi dalam Islam:
Sistem Nilai Sandaran. Sentuhan Midas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Marhaban, Muhammad CAbd
al-Rahman (1988), Al-Jamic fi
Tarikh al-CUlum cind al-CArab, Beirut:
Manshurat Bahr al-Mutawassit.
Muntasir, CAbd
al-Halim (1969), Tarikh al-CIlm, Misr: Dar
al-Kitab al-Lubnani.
Nallini, Karlu (1911), CIlm
al-Falak: Tarikhuh cind al-CArab fi
al-Qurun al-Wusta, T.tpt.: Maktabat al-Thaqafah al-Diniyyah.
Nasr, Seyyed Hossein (1976), Islamic science: An
illustrated study, London: World of Islam Festival Publishing.
Nasr, S. H (1984), Science and Civilization in Islam,
Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Ronan, C.
A (1984), The Cambridge Illustrated History of the World’s Science,
Cambridge:
Cambridge University Press.
Roziah
Sidik @ Mat Sidek (2006), ”Kolaborasi Muslin -Non Muslim: Pemacu Kegemilangan
Sains dan Teknologi Era ‘Abbasi’, (Pro siding Simposium Tamadun Islam Abad
Pertengahan, UKM Bangi: Jabatan Pengajian Arab danTamadun Islam).
Sarton, G
(1975), Introduction to the history of science, Florida: Robert
E.Krieger Publishing Company.
Surur,
Jamal al-Din (1965), Tarikh al-Hadarah al-Islamiyyah fi al-Sharq, T.tp.:
Maktabat al-Injlu al-Misriyyah.
Tuqan,
Qadri Hafiz (1954), Turath al-CArabi al-CIlmi fi
al-Riyadiyyat wa al-Falak, Al-Qahirah: Matbacat Lajnat
al-Ta’lif wa al-Turjumah wa al-Nashr.
Wan Fuad
Wan Hassan (1990), Ringkasan Sejarah Sains, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
مؤازرة اللغة و مواكبة الحضارة
''Memperkasa Bahasa Menelusuri Tamaddun''
0 comments:
Post a Comment